GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan yang berdepan kelewatan dua jam atau lebih, mesti bertanggungjawab dalam menyediakan makanan, panggilan telefon dan akses Internet.

Selain itu, bagi kelewatan lima jam atau lebih, syarikat penerbangan perlu menyediakan penginapan jika diperlukan serta pengangkutan.

Sekiranya ia memerlukan penjadualan semula penerbangan sehingga tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan juga mesti dibuat oleh syarikat penerbangan.

Ia adalah peraturan ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), dan syarikat penerbangan dikehendaki menyampaikan sebarang perubahan status penerbangan kepada pengguna secepat mungkin.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pengguna yang menghadapi kelewatan atau masalah penerbangan dan tidak mendapat layanan yang sewajarnya diminta membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan berkenaan.

"Selain itu, pengguna digalakkan untuk mengemukakan aduan mereka kepada Mavcom melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan bagi memudahkan penyiasatan.

"Pada masa sama, Mavcom sedang memperhalusi MACPC untuk memperkemas serta menambahbaik lagi perlindungan pengguna, terutama dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

"Isu ini adalah perkara yang mendesak dan Mavcom akan terus memastikan pemain industri kekal mematuhi MACPC dan hak pengguna terus ditegakkan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mavcom sedang menyiasat beberapa aduan mengenai syarikat penerbangan yang mengubah jadual penerbangan secara sembarangan tanpa penghantaran notis yang mencukupi kepada pengguna.

Sejajar dengan mandat untuk menegakkan hak pengguna, Mavcom mengarahkan syarikat penerbangan mengemukakan semua data yang relevan mengenai gangguan jadual penerbangan sepanjang tempoh perayaan dari 29 April hingga 9 Mei 2022 bagi mendapatkan pandangan yang objektif, tepat dan komprehensif mengenai keadaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 8:56 AM