Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: WaQaf 365 memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berwakaf sepanjang tahun mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak Sdn Bhd (PSB) Datuk Dr Mohamad Hashim Ahmad Tajudin berkata program itu bertujuan mengajak umat Islam untuk berwakaf sepanjang tahun secara dalam talian melalui sistem Infaq-pay yang mudah, berterusan dan sistematik selain potongan gaji bulanan atau 'one-off'.

Menurutnya, PSB mensasarkan 10,000 pewakaf atau jumlah kutipan RM3.6 juta setahun

"Pemilihan '365' adalah simbolik sebagai mesej kepada semua umat Islam bahawa amalan berwakaf ini boleh dilaksanakan setiap hari dan sepanjang tahun.

"Dengan ini, semua lapisan masyarakat boleh berwakaf berdasarkan kemampuan masing-masing dan tidak terhad kepada harta yang tinggi nilainya seperti rumah, tanah dan sebagainya," katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran program berkenaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melancarkan program WaQaf 365 itu di Hotel Impiana di sini, hari ini.

Hadir sama mengiringi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif PSB, Abd Rahman Abdullah Thani.

Mohamad Hashim berkata, masyarakat khususnya agensi kerajaan dan swasta, pemain industri kewangan Islam, syarikat amanah dan pengurusan pusaka, agamawan diminta tampil ke hadapan untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan menjayakan program WaQaf 365.

"Seluruh masyarakat diajak tampil menghulurkan sumbangan melalui program ini baik dari material, perkhidmatan, pemikiran, tenaga dan masa agar wakaf dapat berperanan efektif untuk membangunkan taraf sosio ekonomi ummah.

"PSB juga akan melancarkan progam Amanah Lil Wakaf bersama rakan strategik iaitu syarikat takaful dan syarikat amanah dan pengurusan pusaka untuk mempelbagaikan saluran untuk berwakaf melalui tunai dan bukan tunai.

"Program Amanah ini adalah berorientasikan amalan berwakaf satu pertiga daripada harta selepas meninggal dunia melalui instrumen takaful dan pengurusan pusaka," katanya.

Tambahnya, program Amanah Lil Wakaf itu juga akan menjadi satu nilai tambah kepada umat Islam untuk berwakaf dan membuka lembaran baharu bagi persediaanpengurusan harta selepas kematian untuk terus beramal jariah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 3:47 PM
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melancarkan program WaQaf 365 di Hotel Impiana. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melancarkan program WaQaf 365 di Hotel Impiana. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI