BERNAMA

Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful Ikhlas), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Muhammad Fikri Mohamad Rawi dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari di Ipoh, Perak.

Muhammad Fikri berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada pengurusan dan pembangunan program wakaf di negeri Perak dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, komuniti asnaf dan belia di negeri berkenaan.

"Saya yakin kerjasama yang terjalin antara Takaful Ikhlas dan MAIPk ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negeri Perak.

"Dengan kerjasama ini, saya berharap dapat sama-sama meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan rakyat negeri Perak untuk memiliki perlindungan takaful dan amalan berwakaf," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, aktiviti dan program yang sudah dirangka di bawah jalinan kerjasama ini turut disokong oleh platform pengumpulan dana patuh syariah Takaful Ikhlas iaitu Ikhlas Barakah House (IBH).

IBH ditubuhkan oleh Takaful Ikhlas dengan tujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti merangkumi pembabitan masyarakat dengan lima fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, komuniti, kesihatan dan alam sekitar.

Muhammad Fikri berkata, Takaful Ikhlas dan MAIPk juga akan menganjurkan Program Keusahawanan Asnaf (AEP) dan Program Keusahawanan Belia (YEP) untuk menyediakan pengetahuan, latihan dan kemahiran yang diperlukan dalam perniagaan dan pembangunan diri kepada komuniti asnaf dan belia di Perak.

"Kami juga percaya bahawa kursus dan latihan keusahawanan yang disediakan melalui program AEP dan YEP akan membantu membina semangat keusahawanan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti asnaf dan belia, seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat di negeri Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 12:21 PM