Zulkifli (kanan) bersama rakannya, Oii Jee Kok, 60, menunjukkan padi yang dimakan tikus. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Zulkifli (kanan) bersama rakannya, Oii Jee Kok, 60, menunjukkan padi yang dimakan tikus. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


LEBIH 60 pesawah di Kampung Kolam, Mukim Tualang, Pokok Sena berputih mata apabila kira-kira 30 hektar sawah mereka diserang tikus serta haiwan perosak lain sejak awal musim ini.

Serangan itu menyebabkan 90 peratus pokok padi mereka musnah dan terpaksa menanggung kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

Pesawah Zulkifli Ramli, 42, berkata, serangan tikus dan haiwan perosak lain seperti burung dan siput gondang itu berlaku berikutan parit tidak diselenggara dan dipenuhi sampah.

Katanya, serangan tikus paling sukar dikawal berikutan sudah bersarang di tepi parit yang dipenuhi sampah.

“Serangan tikus dan burung ini kerap pada malam, haiwan ini makan padi dan meninggalkan beberapa biji saja pada setiap rumpun padi.

“Sawah saya kira-kira dua hektar tidak mendapat hasil tahun ini kerana sudah rosak dan saya rugi RM5,000,” katanya yang menjadi pesawah sejak empat tahun lalu.

Petani muda, Sharul Sham Ramli, 36, berkata, selain diserang tikus, sawah di kampung itu juga sering ditenggelami air kerana masalah perparitan.

Katanya, bagi mengelak sawah tenggelam, pesawah terpaksa menabur padi lebih awal daripada jadual ditetapkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Kami jadi serba salah, jika ikut jadual, pokok padi tenggelam, sebelum ini tidak ada masalah begini tapi sekarang lain pula, tikus bermahajarela.

“Sebagai petani muda, saya perlu kuat fizikal dan mental memikirkan padi tidak menjadi, jika dibiarkan masalah ini berlarutan, petani terus hidup dalam keadaan miskin,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung berkenaan, Ahmad Shukri Ishak, 51, berkata, dia sendiri serba salah untuk membuat aduan apabila terdapat pertindihan kawasan seliaan antara MADA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, dia sudah memaklumkan perkara itu kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang untuk mengetengahkan isu itu kepada pihak bertanggungjawab.

Sementara itu, Penyelaras DUN berkenaan Dzaher Ahmad berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib petani di kampung itu dan sudah dua kali melakukan tinjauan di kawasan sawah terbabit.

“Perkara ini akan dibawa ke MADA, LPP dan JPS, keadaan ini tidak boleh dibiarkan kerana ia juga boleh menjejaskan industri padi di negeri ini.

“Ramai pesawah hanya membiarkan sawah mereka begitu saja dan ada yang sudah ditumbuhi lalang, mereka tak tahu bagaimana hendak membayar upah jentera tuai kerana tiada apa lagi yang hendak dituai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 10:57 AM