HFMD.
HFMD.
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Tiada kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dikesan menjangkiti golongan dewasa dikesan di Johor setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon berkata, lebih 90 peratus kes HFMD dilaporkan dalam kalangan bayi hingga kanak-kanak berusia enam tahun.

Beliau berkata, HFMD yang terus mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 12.8 kali ganda dari 1 Januari hingga 14 Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu tidak membabitkan golongan dewasa di Johor.

"Kanak-kanak adalah golongan yang lebih berisiko dan kebiasaannya ia boleh merebak melalui kontak rapat atau sentuhan dengan pesakit, melalui barang atau benda yang dipegang pesakit di mana virus sudah ada di situ.

"Kanak-kanak berisiko dijangkiti HFMD kerana mereka selalunya berkumpul di pusat asuhan dan memudahkan virus itu merebak. Sehubungan itu kita menggalakkan pusat asuhan melakukan nyah kuman semua peralatan yang tercemar dan alat-alat permainan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan tular di media sosial mendakwa terdapat golongan dewasa dijangkiti HFMD.

Antara gejala awal HFMD adalah demam, kurang selera makan, sakit tekak atau kurang bermaya serta ruam pada tapak tangan dan tapak kaki serta ulser mulut akan keluar pada hari ke dua atau ketiga demam.

Sebanyak 1,236 kes HFMD dilaporkan hingga Minggu Epid 19/2022 sehingga 14 Mei lalu berbanding, 97 kes dalam tempoh yang sama pada 2021.

Kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 1,127 kes (91 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 94 kes (8 peratus), dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

Sehingga kini, sebanyak tujuh wabak aktif HFMD dilaporkan iaitu Kluang dan Tangkak. Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska dengan catatan 18 wabak, diikuti oleh rumah persendirian (8 wabak), tadika (3 wabak), dan pusat jagaan kanak-kanak (1 wabak).

Bagaimanapun, situasi ini masih terkawal dan tiada arahan penutupan taska dikeluarkan akibat wabak itu di negeri ini.

Penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 5:22 PM