FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kes kaki, tangan dan mulut (HFMD) mencatatkan peningkatan ketara apabila merekodkan sebanyak 22,463 kes di seluruh negara pada Minggu Epid 17/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu meningkat 12.8 kali ganda berbanding pada minggu sama pada tahun lalu yang mencatatkan 1,752 kes.

"Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia antara kosong hingga enam tahun iaitu sebanyak 21,508 kes atau 96 peratus.

"Ia diikuti kumpulan umur antara tujuh hingga 12 tahun iaitu 729 kes atau tiga peratus dan selebihnya berlaku dalam lingkungan usia lebih 12 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, sebanyak 767 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri mencatatkan kes wabak tertinggi.

"Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing merekodkan jumlah kes sebanyak 259 wabak atau 33.7 peratus diikuti Selangor dengan 100 wabak atau 13.0 peratus dan Perak sebanyak 98 wabak atau 12.8 peratus.

"Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska serta pra-sekolah iaitu 600 wabak atau 72 peratus diikuti rumah persendirian dengan 186 wabak atau 24 peratus dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 26 wabak atau empat peratus," katanya.

Beliau berkata, penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit. Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga hari. Namun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai, terutama individu yang mempunyai anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

Katanya, langkah itu termasuk membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

"Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan ciri terbaru pengesanan penyakit berjangkit dalam aplikasi MySejahtera bagi kes penyakit berjangkit seperti penyakit Covid-19, Anjing Gila, Demam Campak, Denggi dan HFMD di kawasan sekitar.

"Ciri ini boleh membantu orang awam untuk menjalankan aktiviti harian dan merancang perjalanan harian secara lebih berhati-hati selepas mengenal pasti kawasan berisiko dalam radius berbeza mengikut penyakit.

"Oleh itu, KKM berharap supaya masyarakat dapat menggunakan aplikasi ini dengan sebaiknya supaya kes penyakit berjangkit di Malaysia dapat ditangani dengan lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 5:56 PM