GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 1,145 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Pahang sejak awal Januari sehingga 7 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata kes HFMD itu menunjukkan peningkatan sebanyak enam kali ganda berbanding 190 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kes HFMD yang banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu sebanyak 1,093 kes atau 95.4 peratus.

"Kes kedua tertinggi ialah kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu sebanyak 43 kes (3.8 peratus) dan sembilan kes atau 0.8 peratus berlaku individu berumur lebih 12 tahun.

"Daripada 1,145 kes, 138 kes atau 12.1 peratus adalah kes yang dikenal pasti berlaku hasil penularan di taska, tadika dan pra sekolah.

"Manakala, sebanyak 1,007 kes atau 87.9 peratus adalah berlaku secara sporadik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini,'

Beliau berkata, penyakit HFMD adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus71 (EV71).

Katanya, penyakit itu boleh menjangkiti semua peringkat umur terutama kanak-kanak yang berumur lima tahun dan ke bawah.

"Virus ini boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari hari.

"Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKN Pahang menasihati orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

Katanya, antara langkah itu ialah membasuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

"Selain itu, sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah dan persekitaran, menutup mulut dan hidung ketika batuk dan bersin.

"Jangan berkongsi pakaian, tuala, perkakas, makanan dan minuman serta alat mainan anak.

"Sebaiknya menghantar kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan.

"Ibu bapa dinasihat tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan lain-lain.

"JKN Pahang juga ingin memberi penekanan semula kepada pengusaha dan penjaga di tadika, tabika dan prasekolah untuk sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.

"Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

"Kanak-kanak dengan gejala dinasihat untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawannya.

"Amalan cuci tangan yang betul, disinfeksi atau nyahkuman permukaan yang tercemar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 2:08 PM