Gambar hiasan
Gambar hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sebanyak 82,846 penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan setakat 4 Jun lalu, meningkat 32 kali ganda bagi tempoh sama, tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tahun lalu hanya 2,485 kes HFMD dikesan, manakala keseluruhan peningkatan kes HFMD dalam negara disumbangkan Selangor (28.13 peratus atau 23,305 kes).

Katanya, ia diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (9,540 kes) serta Perak (8,032 kes), selain Kelantan (5,782 kes) dan Johor (5,234 kes).

"Negeri lain melaporkan kes HFMD bawah daripada 4,600 kes. Sebanyak 90 peratus (74,841) kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

"Sementara 6,520 kes (8 peratus) kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun dan selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,485 kes (2 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan tiga virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti iaitu, Enterovirus 71 (EV71), Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).

Katanya, tiga kes HFMD pula dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya mengalami komplikasi radang otak (encephalitis).

"Bagi kes ketiga, pesakit berkenaan sudah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah pada 31 Mei lalu," katanya.

Dalam pada itu, 1,746 wabak dilaporkan dengan majoriti penularan di taska, tabika, tadika dan prasekolah.

Katanya, Kuala Lumpur dan Putrajaya paling tinggi dengan 562 wabak, diikuti Selangor 208 wabak dan Sarawak (206 wabak).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 11:54 AM