HAMZAH ketika menyertai Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama di Pasar Besar Meru, Klang, 27 Mei lalu. FOTO Arkib NSTP
HAMZAH ketika menyertai Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama di Pasar Besar Meru, Klang, 27 Mei lalu. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Belum ada perbincangan. Saya nak cari banyak lagi bukti. Ada sesuatu yang ingin mereka sorokkan daripada kita," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ringkas.

Beliau memberi reaksi itu pada sidang media hari ini ketika diminta mengulas sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah bertemu pihak Pesuruhjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) berhubung pemberian kad orang pelarian.

Beliau berkata, KDN akan menjalankan siasatan mengenai pemberian kad orang pelarian oleh UNHCR kepada individu yang tidak berkenaan dan pihaknya sedang mengumpulkan bukti kukuh sebelum sebarang tindakan diambil kepada pihak didapati terbabit kegiatan itu.

"Setakat ini saya masih lagi sedang mencari banyak bukti-bukti untuk memastikan apa yang saya katakan ini bukan masalah satu atau dua orang.

"Satu atau dua orang mungkin boleh kata mereka silap tetapi kalau ada banyak bukti, silap apa lagi kalau ada banyak. Ada sesuatu yang mereka cuba sorokkan daripada kita," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di sini, hari ini.

Pada 29 Mei lalu, beliau mempersoalkan bagaimana warga asing dari Indonesia yang ditahan dalam operasi jabatan Imigresen boleh memiliki kad pelarian UNHCR.

Hamzah dilaporkan berkata, kementerian mempunyai cukup bukti yang boleh membawa UNHCR kepada pihak pengadilan yang tinggi.

Hamzah juga dilaporkan berkata, sudah sampai masa untuk UNHCR tidak berada di negara ini kerana sudah terlalu banyak kesalahan yang boleh menjustifikasikan tindakan mereka.

"KDN menerusi operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya mengesan beberapa individu dari negara yang tidak bergolak didapati memiliki kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR.

"Sesiapa sahaja yang tinggal di Malaysia wajib mematuhi undang-undang yang ditetapkan sebagai sebuah negara berdaulat.

"Kita sebagai sebuah negara merdeka patut yakin dengan undang-undang kita, jadi bila sampai masanya nanti saya akan buat keputusan untuk ambil tindakan sewajarnya," katanya dalam laporan media sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 5:01 PM