BERNAMA

Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, mengambil tindakan terhadap 355 kes kesalahan di bawah pelbagai akta sejak Januari tahun ini.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata sebanyak 18,971 premis diperiksa sejak Januari dan hasilnya 355 kes dikenakan tindakan dengan jumlah nilai rampasan RM263,038.25 dan nilai kompaun RM88,100.00.

"Kebanyakan kesalahan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP), iaitu sebanyak 178 kes diikuti Akta Timbang Sukat (ATS) (140), Akta Cap Dagangan (11), Akta Hak Cipta (lapan), Akta Perihal Dagangan (empat) manakala Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Kawalan Bekalan masing-masing merekodkan tujuh kes," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Ridzuan bersama Pengerusi Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain, melancarkan Majlis Pelancaran Skim Harga Kawalan Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2022 di Pasar Awam Bayan Baru sini.

Mohd Ridzuan berkata KPDNHEP sentiasa membuat pemantauan mengikut keadaan dan situasi, supaya semua peniaga mematuhi peraturan-peraturan yang sedia ada khususnya ketika musim perayaan.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar raya, pasar awam, dan pasar tani.

"Pemeriksaan untuk memastikan pengguna dilindungi daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika ketika musim perayaan," katanya.

Mohd Ridzuan berkata pelaksanaan SHMMP Perayaan Hari Raya Puasa 2022 mewartakan 19 jenis barangan terdiri daripada daging, hasil laut, sayur, barang kering dan kelapa.

"Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dilaksanakan mengikut harga pasaran semasa, serta mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak," katanya.

Selain daripada harga barangan keperluan pada musim perayaan ini dikawal, Mohd Ridzuan turut memberi jaminan bekalan ayam, telur, daging dan barangan keperluan lain adalah mencukupi ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di Pasar Awam Bayan Baru hari ini. FOTO BERNAMA
Pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di Pasar Awam Bayan Baru hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 1:55 PM