Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengeluarkan 15 notis kepada peniaga di negeri ini membabitkan jumlah keseluruhan kompaun RM2,650.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, bermula 20 April sehingga semalam, pihaknya memeriksa 2,680 premis membabitkan 132 premis borong dan 2,548 premis runcit.

Katanya, kompaun dikeluarkan itu membabitkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga merah jambu (2 kes); tidak mempunyai tanda harga (7 kes) dan menjual melebihi harga kawalan (6 kes).

"Pada masa sama, kami mengeluarkan enam notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga kepada peniaga ayam iaitu tiga notis membabitkan peladang atau penternak dan tiga lagi kepada pemborong.

AZANIZAM Affendi Juri (kanan) bersama pegawainya ketika melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 di Pasaraya Econsave, Kubang Kerian, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AZANIZAM Affendi Juri (kanan) bersama pegawainya ketika melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 di Pasaraya Econsave, Kubang Kerian, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Peniaga yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu bagi individu kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

"Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya kepada pemberita selepas Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 di Pasaraya Econsave, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Saiful Adli Abu Bakar.

Azanizam Affendi berkata, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga kawalan, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.

Beliau berkata, syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 8:28 PM