JENAZAH Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa tiba dikediamanya di Presint 10 pada 8.26 pagi ini. FOTO  Samadi Ahmad
JENAZAH Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa tiba dikediamanya di Presint 10 pada 8.26 pagi ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jenazah Allahyarham bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa tiba di kediamannya di Presint 10, di sini, kira-kira jam 8.26 pagi tadi.

Jenazah dibawa dengan kenderaan jenazah dan diiring ahli keluarga serta polis pengiring.

Ketibaan jenazah disambut dengan suasana sedih ahli keluarga terdekat serta sahabat handai arwah yang tiba di sini sejak awal pagi.

Terdahulu jenazah Allahyarham yang meninggal dunia di Dublin, Ireland pada Khamis lalu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.30 pagi.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Presint 3, di sini, untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Menurutnya, pelawat yang ingin memberikan penghormatan terakhir dinasihatkan untuk tiba di dewan bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari sebelum upacara pengebumian.

Katanya, jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zuhur di Dewan Solat Utama MTMZA.

"Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20 pada 1.30 tengah hari sejurus selepas selesai solat untuk pengebumian," katanya.

Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dijangka hadir memberi penghormatan terakhir dan solat jenazah pada 9.30 pagi di kediaman Allahyraham di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 9:03 AM