Muhamaaad Razis Ismail


Bachok: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki enam tahun yang dikhuatiri lemas di Pantai Irama, Bachok 6 petang semalam, diteruskan jam 9 pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Nik Abdul Aziz Al-Fathoni Abdun Halim,6, dikatakan sedang bermain di tepi pantai sebelum dia tergelincir dan dikhuatiri lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Muhammad Khairu Yusoff berkata, sehingga jam 1 petang, mangsa masih belum ditemui.

Katanya, seramai 99 pegawai dan anggota terdiri dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sukarelawan terbabit dalam operasi mengesan mangsa hari ini.

"Hari ini operasi SAR diperluaskan sehingga satu batu nautika selain mencari di sekitar persisir pantai berkenaan dengan menggunakan aset yang ada termasuk bot, jet ski dan pacuan empat roda.

"Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang petunjuk ditemui.Usaha akan diteruskan sehingga mangsa ditemui," katanya ketika dihubungi Harian Metro tadi.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika sedang bersama dua adik beradiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 1:57 PM