Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sebanyak 28,000 tiket bas ekspres Konsortium E-Mutiara untuk perjalanan pulang ke seluruh negara sudah habis terjual membabitkan waktu puncak bermula 26 April sehingga menjelang malam perayaan Aidilfitri.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, perjalanan yang paling banyak adalah membabitkan laluan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan jualan tiket yang tidak membabitkan waktu puncak masih ada dan mereka yang memerlukannya boleh menghubungi pihaknya untuk mendapatkan tiket atau boleh menempahnya melalui sistem dalam talian.

Katanya, sebelum ini jadual perjalanan hanya membabitkan sebanyak 90 perjalanan dalam sehari di di seluruh negara.

"Bagaimanapun, pihak kami akan menambah 30 lagi perjalanan menjadikan keseluruhannya 120 perjalanan di seluruh negara kerana menjangkakan berlakunya peningkatan jualan tiket pada musim perayaan.

CHE Ibrahim Che Ismail (kiri) beramah mesra dengan anak yatim Tanjung Mas selepas Penyampaian Zakat oleh Konsortium E-Mutiara di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kampung Panji, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
CHE Ibrahim Che Ismail (kiri) beramah mesra dengan anak yatim Tanjung Mas selepas Penyampaian Zakat oleh Konsortium E-Mutiara di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kampung Panji, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Justeru itu, penumpang digalakkan merancang perjalanan dan membeli tiket lebih awal bagi mengelak sebarang masalah," katanya dalam sidang media selepas Penyampaian Zakat oleh Konsortium E-Mutiara di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kampung Panji, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan sumbangan zakat kepada 300 penerima membabitkan anak yatim dan ibu tunggal bagi memberi keceriaan kepada mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, pihaknya tidak mengalami sebarang masalah mengenai isu ketiadaan atau ketidakcukupan pemandu kerana mereka yang pernah berkhidmat dengan Konsortium E-Mutiara Berhad sanggup datang kembali bekerja apabila dipanggil semula dan kini mempunyai seramai 150 pemandu bas membabitkan 70 bas ekspres.

"Pada masa sama, ketika perjumpaan yang diadakan bersama dengan pemandu bas pada hari ini, kesemua mereka sanggup bekerja mengikut jadual yang sudah ditetapkan dan dikeluarkan oleh bahagian operasi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersyukur kerana dapat kembali beroperasi sepenuhnya setelah dua tahun tidak dapat beroperasi susulan penularan pandemik Covid-19.

"Walau bagaimanapun, dari segi pendapatan ia masih lagi di bawah pendapatan sebenar yang diperoleh sebelum pandemik Covid-19 dan tidak mencukupi, malah masih memerlukan lagi masa untuk pulih sepenuhnya.

"Insya-Allah selepas Aidilfitri ini kita berharap tidak ada lagi masalah yang hadapi sebagaimana sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 5:39 PM