CHE Ibrahim (tengah) bersama pekerjanya memperkenalkan sistem track my bus untuk pengguna mengesan lokasi bas ketika ditemui di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kampung Panji, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Ibrahim (tengah) bersama pekerjanya memperkenalkan sistem track my bus untuk pengguna mengesan lokasi bas ketika ditemui di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad di Kampung Panji, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 53,370 tiket bas ekspres Konsortium E-Mutiara habis terjual tempoh dua jam sahaja, bagi perjalanan pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, berkata sambutan diterima amat menggalakkan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

"Tiket bas untuk pulang ke Kelantan dalam tempoh enam hari bermula 4 hingga 9 April sudah habis terjual dalam tempoh dua jam sahaja selepas jualan tiket dibuka.

"Alhamdulillah sebanyak 1,186 trip perjalanan pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri dan Konsortium E-Mutiara mempunyai 70 bas ekspres.

"Kita mungkin akan menambah satu atau dua bas untuk perjalanan Kuala Lumpur ke Kelantan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada anak yatim dan asnaf di pejabatnya, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai lebih 300 asnaf dan anak yatim menerima sumbangan zakat yang dianjurkan setiap tahun.

Mengulas lanjut katanya, beliau tidak menyangka sambutan diterima begitu menggalakkan sedangkan mereka mula menjual tiket lebih lewat berbanding pengusaha bas lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 8:52 PM