GURU memulakan pengajaran pada sesi persekolahan bersemuka tanpa sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad
GURU memulakan pengajaran pada sesi persekolahan bersemuka tanpa sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Lebih 70 peratus daripada 7,000 responden dalam kalangan pelajar memilih pembelajaran semuka berbanding pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang disifatkan kurang berkesan, menjadikan mereka sunyi dan tiada motivasi.

Itu hasil dapatan tinjauan Majlis Rundingan Kanak-Kanak (CCC) di bawah Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dijalankan bermula 9 Ogos hingga 30 September tahun lalu.

Ia membabitkan 7,332 responden berusia tujuh hingga 17 tahun di seluruh negara yang menjawab tinjauan mengenai isu dan cabaran PdPR dengan borang diedarkan menerusi WhatsApp dan emel.

Presiden CCC, Chloe Gan berkata, sebanyak 76.7 peratus daripada jumlah keseluruhan responden memilih kelas fizikal berbanding PdPR dengan 56.1 peratus atau 4,113 responden memaklumkan PdPR kurang berkesan.

Beliau berkata, sebanyak 44.7 peratus atau 3,277 responden mengatakan bahawa input diterima menerusi PdPR agak kurang berbanding kelas fizikal.

"Sebanyak 32.9 peratus atau 2,414 responden mendapati pelajaran secara maya menjadikan mereka kesunyian, tiada motivasi dan tidak bersemangat.

"Selain itu sejumlah 53.4 peratus atau 3,915 responden mendapati sukar untuk menumpukan perhatian atau kekal fokus semasa menghadiri kelas maya di rumah. Malah 76.7 peratus responden memilih kelas fizikal berbanding PdPR," katanya pada sidang media secara maya di sini hari ini.

Sidang itu turut disertai Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Selain itu Chloe berkata, sebanyak 64.7 peratus atau 4,941 responden mendapati kelas maya memberi lebih masa untuk merapatkan hubungan keluarga.

"Sebanyak 33.6 atau 2,463 responden mengatakan PdPR menjauhkan mereka daripada pembuli manakala 47.5 peratus atau 3,350 responden tidak pasti sama ada unit kaunseling sekolah mereka menawarkan bantuan mencukupi semasa PdPR," katanya.

Sementara itu Noor Aziah mengucapkan tahniah kepada ahli CCC yang merangka tinjauan terbabit sekali gus membuktikan kanak-kanak juga boleh mengukur pandangan rakan sebaya serta kebimbangan bersama menerusi set soalan mereka sendiri.

"Saya gesa Kementerian Pendidikan mempertimbangkan hasil kajian ini seterusnya menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan terdiri ahli akademik, badan bukan kerajaan, ibu bapa, guru dan pelajar.

"Ini bagi membincangkan dasar dan sistem pendidikan, bukan saja untuk jangka masa pendek ketika pandemik sahaja, malah jangka masa panjang dalam menangani isu generasi pembelajaran yang hilang akibat pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 5:53 PM