GAMBAR hiasan. Pejabat Suhakam. FOTO Suhakam
GAMBAR hiasan. Pejabat Suhakam. FOTO Suhakam
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan sudah mengambil tindakan segera sebaik dimaklumkan mengenai kes penderaan remaja perempuan sindrom Down bernama Bella.

OCC dalam kenyataan hari ini memaklumkan terkilan dengan penulisan seorang pengamal undang-undang di dalam akhbar 15 April lalu.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal mengarahkan tindakan segera diambil dan pada 16 Julai tahun lalu OCC mengeluarkan kenyataan media menggesa supaya semua langkah diambil bagi memastikan suspek didakwa dengan segera.

Menurut kenyataan itu, pada 19 Julai 2021, OCC sudah mengambil inisiatif sendiri untuk menyiasat kes walaupun tidak ada aduan dilaporkan kepada OCC malah turut menghubungi polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak yang terkait dengan kes ini.

"Pada 12 Ogos 2021, OCC menerima surat daripada Persatuan Sindrom Down Malaysia, memohon SUHAKAM untuk memastikan pendakwaan dapat dilakukan semula ke atas suspek dengan segera.

"OCC berhubung dan membuat susulan lanjut dengan Bahagian D11 Bukit Aman berhubung tarikh baru untuk suspek didakwa semula di mahkamah.

"Pada 1 Oktober 2021, OCC telah memohon kepada Bahagian Kanak-kanak JKM untuk membuat lawatan pemantauan ke Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, pusat di mana adik Bella ditempatkan tetapi lawatan tidak dibenarkan kerana kebimbangan penularan Covid-19 kepada kanak-kanak di institusi.

"Oleh itu, dari Januari 2022 sehingga hari ini, OCC menghantar peguam pemerhati kami untuk memantau perjalanan kes di mahkamah kerana membabitkan hak kanak-kanak dan kepentingan awam, dan dibenarkan mahkamah," katanya.

OCC berkata, selaras peruntukan Seksyen 12 Akta SUHAKAM 1999 (Akta 597), sebaik sahaja pertuduhan dibuat, OCC tidak boleh campur tangan dan mengganggu proses keadilan yang sedang berjalan.

Tambah kenyataan itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak sangat terbuka untuk bekerja dan sentiasa mengadakan libat urus bersama ribuan aktivis kanak-kanak dari dalam dan luar negara tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 12:06 PM