MUHAMMAD Syukur. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MUHAMMAD Syukur. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Lama sangat doh dok gi (tak pergi) sekolah, memang berasa teruja dan dok (tak) sabar nak mula belajar di dalam kelas bersama kawan-kawan," kata Muhammad Syukur Khamis.

Muhammad Syukur, 15, atau lebih dikenali dengan jolokan Mowgli Malaysia antara pelajar Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin (SMKPM) di sini yang memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Katanya, dia paling merindui suasana sesi pembelajaran di dalam kelas bersama rakan.

"Sejak tidak bersekolah, saya memang tidak berjumpa dengan kawan-kawan.

"Hanya berhubung dengan kawan melalui telefon sahaja, oleh itu memang berasa tidak sabar untuk berjumpa dengan kawan dan menjalani pelbagai aktiviti bersama di sekolah.

"Guru kelas juga lama tidak ditemui, hanya berinteraksi ketika menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sahaja," katanya.

Tambahnya, dia membuat persiapan untuk ke sekolah sejak seminggu yang lalu termasuk membeli kelengkapan dan pakaian seragam sekolah baharu.

"Rambut pun baru saja potong dan semangat untuk memulakan sesi pembelajaran di dalam kelas hari ini memang berkobar-kobar.

"Saya harap sesi persekolahan dapat diteruskan seperti biasa dan tiada lagi halangan untuk ke sekolah kerana sesi pembelajaran di dalam kelas lebih digemari berbanding PdPR," katanya.

Menurutnya, dia membantu bapanya, Khamis Jusoh, 65, menguruskan kerbau dan pelbagai ternakan lain sepanjang tidak ke sekolah.

"Selesai sahaja PdPR, saya akan menjalani rutin harian sebagai penternak termasuk memberi makan haiwan ternakan.

"Sekarang sudah mula sesi persekolahan yang tertangguh lama sebelum ini, oleh itu saya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 8:27 AM