FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Selepas hampir setahun melalui pembelajaran menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), timbul kebimbangan ibu bapa sesi itu boleh menyebabkan budaya antisosial atau kesihatan mental kepada anak mereka.

Namun bagi pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, isu itu tidak akan berlaku sekiranya semua pihak memainkan peranan mewujudkan keseronokan dalam PdPR.

"Secara umum kita tahu kanak-kanak memerlukan aktiviti sosial yang tinggi kerana dengan adanya aktiviti itulah yang akan boleh meningkatkan kreativiti dan pemikiran kritis dalam kehidupan mereka.

"Semakin aktif kanak-kanak dalam aktiviti sosial maka lagi cepat perkembangan mental mereka," katanya kepada Harian Metro.

Dr Mohammad Shatar berkata, berikutan Covid-19 kini sedang 'mengganas', semua pihak tiada pilihan dan suka atau tidak perlu duduk di rumah serta menjalani semua pembelajaran dalam talian.

"Sebenarnya daripada perspektif sosial tidak akan timbul masalah antisosial kerana pembelajaran dalam talian ini bukan perkara baru.

"Sebelum Covid-19 melanda, negara barat sudah biasa dengan kaedah pembelajaran dalam talian ini, tapi di Malaysia mungkin masih baru," katanya.

Katanya, pembelajaran di rumah bukan bermaksud perlu belajar 24 jam sehari.

"Anak-anak bukan duduk dalam bilik dan tidak keluar, namun sekiranya ini berlaku boleh mewujudkan budaya antisosial dan kemurungan.

"Kita tahu konsep pembelajaran di rumah sama saja seperti di sekolah, cuma tidak dilakukan secara bersemuka.

"Guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mewujudkan keseronokan anak-anak untuk mengikuti PdPR," katanya.

Menurutnya, guru perlu merancang aktiviti menyeronokkan supaya murid dapat berinteraksi dan ada pergerakan di rumah.

"Perlu mewujudkan pergerakan dan interaksi bagi mengurangkan kebosanan kepada murid.

"Kaedah yang diguna pakai guru sangat penting dengan mencipta kepelbagaian aktiviti, tidak boleh disamakan dengan belajar secara bersemuka," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting serta merujuk sumber video dalam talian dengan mewujudkan aktiviti di rumah.

"Banyak saya lihat dalam YouTube inisiatif ibu bapa yang mewujudkan aktiviti dan kreativiti supaya ada interaksi antara anak-anak.

"Jadi tidak boleh harapkan guru semata-mata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting juga," katanya.

Menurutnya, kesimpulannya sesi PdPR tidak akan menyebabkan murid kemurungan atau antisosial jika disesuaikan dengan aktiviti serta peranan guru dan ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 2:55 PM