FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Persekitaran digital memainkan peranan yang semakin penting dalam perkembangan kanak-kanak, terutama berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Pesuruhjaya Kanak-kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan meningkat sepanjang tempoh pandemik itu.

Menurutnya, walaupun teknologi memberi peluang kepada anak untuk belajar dan menonjolkan kreativiti, peralatan itu juga dapat meningkatkan pendedahan terhadap risiko seperti buli siber dan eksploitasi seksual yang membahayakan kesihatan mental serta kesejahteraan anak.

"Penggunaan tanpa had boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan pornografi dan menjadi mangsa eksploitasi seksual secara dalam talian.

"Seperti contoh isu aplikasi Sugarbook baru-baru ini mungkin menarik minat kanak-kanak kerana mereka mempunyai peralatan untuk mengakses laman berkenaan," katanya dalam sesi webinar Perlindungan Kanak-kanak Dalam Talian anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).

Sesi webinar berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Datin Izzatul Shima Md Thahir; Ketua Perlindungan Kanak-Kanak Unicef Malaysia, Sarah Norton; Ketua Hal Ehwal Awam Ipsos Wan Nuradiah Wan Mohd Rani dan Penyelidik Universiti Multimedia Dr Bahma Sivasubramaniam.

Mengulas lanjut, Noor Aziah berkata, berdasarkan data dari Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019, sebanyak 7,358 kes jenayah membabitkan kanak-kanak termasuk 11 kes pornografi.

Menurutnya, walaupun kes pornografi dikatakan isu yang sering berlaku di negara ini, tetapi jumlah kes direkodkan masih rendah berkemungkinan tidak dilaporkan atau belum mendapat perhatian.

"Di Malaysia, pihak berkuasa tidak dapat menjalankan siasatan jika mangsa tidak tampil membuat laporan. Malah pengetahuan berkaitan pornografi kanak-kanak dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 belum meluas," katanya.

Menurut Noor Aziah, kanak-kanak perlu dilengkapi ketahanan, pengetahuan dan kemahiran untuk melindungi diri dalam semua keadaan termasuk kemahiran literasi digital untuk membolehkan mereka mendapat manfaat.

Beliau berkata, apa yang penting adalah langkah untuk mengurangkan risiko seimbang dengan hak anak terhadap kebebasan bersuara, akses kepada maklumat dan privasi.

Justeru, katanya, Suhakam mahu kerajaan mewujudkan sistem data kebangsaan mengenai penggunaan internet oleh kanak-kanak untuk memantau kategori dan umur kanak-kanak yang menggunakan internet dan peratusan risiko serta bahaya.

Katanya, kerajaan perlu bekerjasama dengan kementerian yang berkaitan untuk mencegah dan menangani segala bentuk keganasan, penderaan dan eksploitasi kanak-kanak secara dalam talian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 4:16 PM