Sakinah (kiri) menerima sumbangan daripada Halimaton. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sakinah (kiri) menerima sumbangan daripada Halimaton. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: "Terima kasih Harian Metro kerana selepas kisah saya disiarkan Jumaat lalu, ramai yang menghubungi dan memberi sokongan serta kata semangat selain menyalurkan sumbangan," kata Sakinah Zainol Abidin.

Sakinah, 22, yang menghidap barah Ewing Sarcoma tahap empat bersyukur kerana sekurang-kurangnya wang sumbangan yang dihulurkan pembaca Harian Metro dapat digunakan sepenuhnya untuk menampung kos rawatan susulan ulang-alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, dia semakin bersemangat dan cuba melawan barah yang dihidapinya sejak 2019 dengan berkat doa orang ramai.

"Hanya Allah SWT saja yang akan membalas jasa semua yang membantu saya ketika ini," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Betong di sini, hari ini.

Sakinah berkata, dia turut berterima kasih kepada pihak 'Canser Survivors Malaysia' (CSM) yang banyak menghulurkan sumbangan serta sokongan moral kepadanya.

Kata Sakinah yang baru selesai menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam, setakat ini keadaannya dilaporkan baik.

Selain itu, nasib yang menimpanya turut mendapat perhatian EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang mengunjunginya hari ini.

Halimaton Shaadiah turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada Sakinah selain akan melihat semula permohonan untuk bantuan bulanan kepada pesakit berkenaan.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah Sakinah yang pernah bercita-cita untuk berjaya dalam pelajarannya namun segalanya berkecai apabila dia disahkan menghidap barah Ewing Sarcoma berkaitan tulang rawan, tisu dan otot perut tahap empat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 2:56 PM