NORHANIM  memberikan  susu khas kepada Ceaq yang terlantar akibat kanser tulang Ewing Sarcoma yang dihidapinya sejak dua bulan lalu. - FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
NORHANIM memberikan susu khas kepada Ceaq yang terlantar akibat kanser tulang Ewing Sarcoma yang dihidapinya sejak dua bulan lalu. - FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Saya sedih kerana tak dapat bermain bola di sekolah macam dulu disebabkan tidak dapat bergerak dan terlantar di atas katil sejak disahkan menghidap kanser tulang Ewing Sarcoma, dua bulan lalu," kata Amir Asyraf Zarimie, 17.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah (SM) Permatang Bonglai, Megat Dewa, Jitra itu juga sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, tetapi terpaksa menangguhkan sementara waktu untuk memberi tumpuan rawatan kemoterapi.

Amir Asyraf atau dipanggil Ceaq berkata, dia dikesan menghidap kanser itu selepas dua hari mengalami sakit belakang dan susah untuk tidur selain rasa kebas serta sukar untuk mengalihkan badan.

Katanya, dia kemudian menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran rumahnya di Megat Dewa, Jitra dan doktor memberikan ubat tahan sakit untuknya.

"Namun, sakit badan yang dialami berlarutan sebelum saya membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan doktor memberitahu ada ketumbuhan di tulang belakang.

"Selepas membuang ketumbuhan itu pada 25 Mei lalu saya disahkan menghidap kanser dan perlu membuat rawatan kemoterapi enam kali di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Alor Goncaq, Jalan Gunung di sini, semalam.

Menurut Amir Asyraf, setakat ini, dia sudah melakukan dua kali kemoterapi menyebabkan rambut gugur selain perlu berehat sepenuhnya di rumah.

Katanya, berat badannya yang sebelum ini 48 kilogram (kg) kini hanya tinggal 36kg berikutan kesan kimoterapi menyebabkan dia tidak berselera makan.

"Saya akan cuba kuatkan semangat melawan kanser ini kerana saya nak hidup sihat macam dulu selain membantu ibu dan ayah kerana mereka sanggup bersusah payah mencari wang untuk membesarkan saya serta adik-adik.

Ibunya, Norhanim Abdul Rahman, 36, berkata, dia terima ujian Allah ini walaupun terkejut apabila dimaklumkan anak sulung daripada tiga beradik itu menghidap kanser tulang.

Katanya, dia hanya suri rumah dan bergantung sepenuhnya pada suami, Zarime Marazi, 30-an yang bekerja sebagai juruteknik telekomunikasi dengan pendapatan hanya RM1,200 sebulan.

"Dua anak lagi berusia lapan dan 15 tahun masih bersekolah dan buat masa ini, saya tinggal di rumah ibu di sini, kerana lebih dekat membawa Amir Asyraf ke HSB memandangkan rumah di Megat Dewa, Jitra agak jauh," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai ingin menyalurkan sumbangan kepada Amir Asyraf boleh berbuat demikian dengan menghubungi ibunya di talian 017-4654424.

"Setiap kali hendak ke HPP untuk membawa Amir menjalani kimoterapi, kami terpaksa menyewa kereta kerana tiada kenderaan dan wang simpanan yang ada habis digunakan menampung kos rawatan anak.

"Lepas buat rawatan kimoterapi, dia dah boleh gerakkan jari kaki, tetapi tak boleh kuat sangat kerana masih lemah tapi saya suruh dia buat senaman supaya dia boleh berjalan semula.

"Bila dia tak selera makan, saya ganti dengan susu formula khas untuk Amir kerana dapat membantu memberi tenaga padanya, tetapi nak beli susu tu harganya mahal, saya tak mampu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Canser Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi remaja itu menyalurkan sumbangan katil pesakit, lampin pakai buang, susu khas, barangan keperluan makanan harian serta wang tunai kepada Amir Asyraf untuk membantu meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 7:00 AM