Bangkok, Thailand. FOTO EPA
Bangkok, Thailand. FOTO EPA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri hari ini, menegaskan dakwaan terdapat 10,000 orang rakyat Malaysia masih berada di Thailand secara tidak sah atau lebih masa adalah tidak berasas sama sekali dan jika pun ada, jumlah itu jauh lebih kecil.

Kementerian pada kenyataan hari ini berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, pihaknya dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menghulurkan bantuan kepada lebih 2,439 warga Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air.

"Berdasarkan rekod Konsulat Jeneral, sehingga kini, hanya terdapat 72 orang warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan.

"Bilangan ini adalah sebahagian daripada 444 orang warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral," katanya.

Kenyataan itu mengulas laporan media tempatan yang mendakwa lebih 10,000 rakyat Malaysia terperangkap di Thailand dan menjadi pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana pas sempadan mereka telah tamat tempoh.

Media melaporkan, keadaan itu berlaku kerana mereka memasuki negara jiran itu sebelum pelaksanaan PKP pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air disebabkan pintu sempadan ditutup.

Kementerian berkata, kerajaan Thailand pada Februari 2021 telah mengumumkan supaya semua warganegara asing yang memegang visa pelancong/jangka pendek untuk meninggalkan negara itu atau akan dikenakan penalti sekiranya gagal berbuat demikian.

"Lanjutan daripada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah membantu daripada segi pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memohon perlanjutan tempoh visa di Thailand.

"Manakala Sijil Perakuan Cemas telah dikeluarkan kepada pemegang Pas Sempadan yang telah luput bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia," katanya.

Warganegara Malaysia di Thailand yang terkesan akibat penutupan sempadan kedua-dua negara dan memegang dokumen perjalanan yang telah luput dinasihati hadir ke pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi membolehkan pihak konsulat menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini boleh dikemukakan secara terus kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian (6674) 311 062/316 274 atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 2:47 PM