TANGKAP layar kejadian letupan di Songkhla. FOTO IHSAN PEMBACA
TANGKAP layar kejadian letupan di Songkhla. FOTO IHSAN PEMBACA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesahkan tiada rakyat Malaysia setakat ini dilaporkan terbabit dalam insiden letupan gudang mercun di Mukim Mundok, Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand, semalam.

Kementerian Luar dalam kenyataan malam tadi memaklumkan berdasarkan laporan awal, letupan itu berlaku di gudang penyimpanan bunga api dan mercun yang menyebabkan sembilan kematian dan 114 orang mengalami kecederaan.

"Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden berkenaan.

"Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +6674311062 atau +66936570707 (untuk kecemasan) atau melalui e-mel [email protected] dan sebarang perkembangan terkini mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Gabenor Narathiwat Sanan Pongaksorn dilaporkan berkata letupan pada 3.30 petang (waktu tempatan) itu berlaku di Pasar Mundok, destinasi beli-belah popular bagi rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 8:39 AM