Pihak berkuasa Thailand menutup Pintu pagar sempadan Thailand selepas hanya membenarkan empat jam sehari dibuka kepada 50 warga Thailand yang menetap di Perlis dan Pulau Langkawi, Kedah. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAB
Pihak berkuasa Thailand menutup Pintu pagar sempadan Thailand selepas hanya membenarkan empat jam sehari dibuka kepada 50 warga Thailand yang menetap di Perlis dan Pulau Langkawi, Kedah. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAB
BERNAMA

KIRA-KIRA 677 rakyat Malaysia di Thailand kembali ke tanah air pada 20 April lalu melalui pusat pemeriksaan sempadan antara kedua-dua negara dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Thailand dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata usaha itu berhasil selepas perbincangan menerusi telefon antara Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Thailand, Don Pramudwinai pada 17 April lalu.

Perbincangan itu adalah untuk membenarkan warga masing-masing yang terkandas melalui pusat pemeriksaan sempadan.

Kedutaan juga mengeluarkan lebih 300 surat sokongan untuk rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan visa di biro Imigresen Thailand.

“Kami juga menyediakan keperluan asas untuk rakyat Malaysia yang terkandas di Bangkok dan Thailand Selatan serta membantu penghantaran bekalan perubatan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.

“Selain itu, kami juga menghubungi rakyat Malaysia di Bangkok dan sekitarnya melalui e-mel dan media sosial untuk memberikan maklumat terkini mengenai langkah yang diambil kerajaan Thailand bagi mengawal penularan Covid-19,” katanya ketika wawancara khas dengan Bernama TV menerusi Skype malam tadi.

Samuel berkata, pada 4 April lalu pesawat sewa khas Malaysia Airlines, dengan kerjasama pasukan petugas Covid-19 Wisma Putra membawa pulang 101 rakyat Malaysia dari Thailand yang terkandas selepas tiket mereka dibatalkan.

“Mereka telah menjalani kuarantin mandatori dan kami gembira kerana tiada yang didapati positif Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai situasi di Thailand, Samuel berkata keadaan di kebanyakan kawasan di negara itu tenang malah kedai runcit dan sistem pengangkutan awam masih beroperasi.

Beliau berkata, pandemik memberi kesan kepada ekonomi negara itu, sektor seperti pelancongan, perhotelan dan pembuatan terjejas teruk.

Pada 26 Mac lalu, Thailand mengisytiharkan darurat sehingga 30 April, dalam usaha membendung penularan virus itu.

Kerajaan turut menutup sementara pintu sempadan dan melarang kemasukan warga asing, kecuali diplomat dan mereka yang mempunyai permit kerja.

Sehingga semalam, Thailand melaporkan 19 kes baharu menjadikan keseluruhan sebanyak 2,811, manakala satu kematian dicatatkan dengan jumlah keseluruhan korban seramai 48 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:28 PM