DATUK Dr Mah Hang Soon (kanan) bersama Dr Hanafi Yahya (kiri) meninjau keadaan sekolah berkenaan pagi semalam.  FOTO ihsan pembaca
DATUK Dr Mah Hang Soon (kanan) bersama Dr Hanafi Yahya (kiri) meninjau keadaan sekolah berkenaan pagi semalam. FOTO ihsan pembaca
Zahratulhayat Mat Arif


Ipoh: Kementerian Pendidikan (KPM) menunggu laporan terperinci Lembaga Peperiksaan berhubung penggunaan set soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang sama bagi peperiksaan sesi kedua bermula Khamis lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata keputusan sama ada pelajar terbabit perlu menduduki semula peperiksaan itu hanya akan dibuat selepas kementerian menyemak laporan berkenaan.

"Saya baru dimaklumkan mengenai perkara itu. Apa pun, saya rasa kita perlu menyemak dengan teliti laporan yang akan disediakan Lembaga Peperiksaan.

"Kami akan mengadakan perbincangan selepas itu, mengenai apakah tindakan yang akan diambil (jika murid perlu menduduki semula peperiksaan)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di pejabatnya di sini, hari ini.

Calon SPM yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu sebelum ini akibat Covid-19 dan bencana banjir baru-baru ini akan menduduki peperiksaan itu pada sesi kedua pada April dan Mei ini.

Sesi kedua peperiksaan yang dijalankan antara 5 April dan 19 Mei itu adalah bagi calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan antara 8 Februari dan 29 Mac lalu kerana didapati positif Covid-19, berada di bawah perintah kuarantin, terjejas akibat banjir dan kes khas yang diluluskan Pengarah Peperiksaan.

Semalam, dilaporkan peperiksaan Bahasa Melayu (Mendengar) pada Khamis lalu, yang membawa markah bagi keseluruhan mata pelajaran Bahasa Melayu, mengejutkan banyak pihak kerana ia sama seperti peperiksaan bagi sesi pertama SPM, yang sudah pun dikongsi secara meluas.

Ramai yang menggunakan media sosial untuk mengkritik KPM kerana mengitar semula keseluruhan kertas ujian, dalam peperiksaan awam yang paling penting di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 1:48 PM