BARANGAN yang dirampas PPM. FOTO Ihsan PPM
BARANGAN yang dirampas PPM. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan


Kudat: Operasi rondaan dan pemantauan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan kegiatan bom ikan dan penyeludupan diesel di perairan Pulau Sibogoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, semua barangan berkenaan dikesan dibawa seorang lelaki menggunakan sebuah bot pam.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata, ketika rondaan dan pemantauan di kawasan laut berkenaan, pihaknya mengesan sebuah pam bot yang mencurigakan.

Bagaimanapun katanya, suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa melarikan diri ke kawasan cetek sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan.

"Ketika dikejar, suspek dilihat membuang satu objek ke dalam laut dan pemeriksaan lanjut menemukan peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan.

"Dalam masa yang sama pasukan operasi juga berjaya merampas puluhan tong berisi minyak diesel yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Cyrill berkata, nilai rampasan yang berjaya dilakukan dianggarkan berjumlah RM19,450 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut dam kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 9:28 AM