RATUSAN guni berisi daging penyu kering, kerang dan spesis marin terancam yang dirampas. FOTO Ihsan PPM.
RATUSAN guni berisi daging penyu kering, kerang dan spesis marin terancam yang dirampas. FOTO Ihsan PPM.
Juwan Riduan


Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai bahagian penyu yang sudah dikeringkan dan spesis hidupan laut terancam bernilai lebih RM5 juta.

Ia ditemui di atas sebuah bot jenis bubu ikan di kawasan laut Mangsee Reef, di sini pada jam 11.15 pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika dalam penugasan Op Taring Gelora di kawasan perairan daerah berkenaan terkesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika dihampiri untuk pemeriksaan, bot itu membelok dan memecut ke arah kawasan cetek di Mangsee Reef.

"Ketika bot berhenti sepenuhnya, kelihatan empat lelaki dewasa melompat keluar dari kapal dan berenang ke arah kawasan cetek untuk melarikan diri.

"Pada masa sama juga, berhampiran lokasi kejadian, terlihat sebuah bot pam menghampiri empat lelaki terbabit dipercayai sebahagian daripada kumpulan mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, bot pam itu dilihat membawa empat lelaki terbabit menuju ke arah perairan sempadan antarabangsa Malaysia - Filipina melalui kawasan Terumbu Mangsee yang cetek.

"Bot pasukan PPM tidak dapat mengejar kerana laluan itu agak cetek. Pasukan operasi kemudian menghampiri bot yang ditinggalkan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan awal menemui banyak guni yang di dalamnya mengandungi disyaki pelbagai bahagian penyu yang sudah dikeringkan," katanya.

Menurutnya, bot dan semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dimuatkan dengan pelbagai spesis hidupan hidupan laut yang dikeringkan.

"Antaranya pelbagai daging penyu (9 tan), kulit kerang dan siput pelbagai spesis (2 tan), balat susu (90 kilogram), kuda laut (150 kilogram), rumpai laut (80 kilogram), sirip yu (5 kilogram), kerapu (200 kilogram) yang semua dikeringkan. Turut dirampas ikan basah pelbagai jenis dan sarang burung walit.

"Nilai rampasan semua barangan berkenaan berjumlah lebih RM5 juta," katanya.

Katanya lagi, bot dan semua barangan dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 1:07 PM