ENAM lelaki yang ditahan bersama peralatan digunakan untuk melakukan aktiviti mengebom ikan di Kudat. FOTO ihsan PPM
ENAM lelaki yang ditahan bersama peralatan digunakan untuk melakukan aktiviti mengebom ikan di Kudat. FOTO ihsan PPM
Juwan Riduan


Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan enam lelaki termasuk juragan bot selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak di perairan Big Bonanza Reef, 45 kilometer barat laut Simpang Mengayau di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, PPM Kudat turut merampas beberapa peralatan dipercayai untuk kegunaan membuat bom ikan.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, bot nelayan itu dikesan ketika bot ronda PPM Kudat menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Katanya, bot nelayan itu didapati beroperasi menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri ke kawasan cetek selepas menyedari kehadiran PPM.

"Anggota rondaan PPM berjaya memintas bot berkenaan dan menahan seorang juragan serta lima lelaki berusia 19 hingga 53 tahun.

"Hasil pemeriksaan dalam ruang bot berkenaan berjaya menemukan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan termasuk sembilan botol minuman yang dipercayai mengandungi Ammonium Nitrat, 19 unit fius peledak, satu karung berisi Ammonium Nitrat," katanya di sini, hari ini.

Ridzauddin berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 10 kilogram yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM87,415 dan semua tangkapan serta rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata PPM, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 3:31 PM