LELAKI yang ditahan PPM Kudat selepas cuba menyeludup keluar petrol ke negara jiran di perairan Pitas. FOTO Ihsan PPM
LELAKI yang ditahan PPM Kudat selepas cuba menyeludup keluar petrol ke negara jiran di perairan Pitas. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan

Kudat: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar petrol bersubsidi bernilai RM10,480 ke negara jiran gagal selepas kegiatannya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Layak-Layak Pitas, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, hasil pemantauan dan risikan mengesan sebuah pam bot dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di perairan daerah ini.

Katanya, anggota PPM kemudiannya melakukan operasi dan menahan bot dipandu lelaki terbabit.

"Hasil pemeriksaan terhadap bot pam berkenaan menemui beberapa tong berisi petrol.

"Semua minyak berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dengan menggunakan pam bot milik suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cyril berkata, siasatan lanjut, suspek gagal mengemukakan dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tujuan berkenaan.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM10,480 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961," katanya.

Sehubungan itu, Cyril berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 12:33 PM