LELAKI warga Filipina yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO NSTP
LELAKI warga Filipina yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO NSTP
Juwan Riduan


Kudat: Tindakan seorang lelaki Filipina menangkap ikan menggunakan bahan letupan menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Suspek berusia 57 tahun itu ditahan APMM dalam Op Pluto Timur pada kedudukan 0.82 batu nautika di tenggara Pulau Lingkutan, Banggi, jam 11 malam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya mengesan sebuah bot pam disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan.

Katanya, bot peronda APMM, diatur gerak selepas menerima maklumat dan menemui sebuah bot di lokasi berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas bot itu mendapati ia dikendalikan seorang lelaki warga Filipina tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

"Turut ditemui bahan letupan serta peralatan mengebom ikan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot serta suspek terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 8:26 AM