Khairul Dzaimee Daud. FOTO NSTP.
Khairul Dzaimee Daud. FOTO NSTP.
BERNAMA

Sepang: Dakwaan kononnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendiskriminasi sebilangan warga India yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) baru-baru ini adalah tidak tepat, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, hari ini.

Sebuah video berdurasi seminit tular di TikTok sejak beberapa hari lalu mendakwa warga India diberi layanan buruk di klia2 termasuk dipaksa duduk atas lantai dan melalui proses kemasukan yang panjang biarpun mempunyai dokumen lengkap.

Khairul Dzaimee menjelaskan hasil siasatan mendapati pengembara berkenaan sebaik tiba di klia2, tidak terus ke kaunter imigresen sebaliknya berlegar di kawasan itu sehingga hampir tiga jam dan ada yang bersembunyi di bilik air hingga menimbulkan syak wasangka kepada penguat kuasa.

"Imigresen akan menerima manifest awal penerbangan dan kami tahu dalam penerbangan tertentu, ada berapa warga asing. Selepas dua tiga jam tidak datang ke kaunter dan apabila pegawai mencari dan jumpa mereka, mereka dibawa ke pejabat operasi untuk disiasat," katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus JIM bersama agensi pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selepas disoal siasat, katanya, warga India itu tiba di Malaysia bukan untuk melancong sebaliknya untuk bekerja secara tidak sah, tidak tahu tempat kediaman dan tidak mempunyai wang saku mencukupi dan ia jelas melanggar syarat kemasukan pas lawatan sosial.

Khairul Dzaimee berkata kesemua pengembara berkenaan telah dihantar pulang ke India dan dikenakan tindakan Not-To-Land (NTL) (Tidak Dibenarkan Mendarat) selain disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia selepas ini.

Mengenai statistik NTL dari Januari 2022 sehingga kini, beliau berkata seramai 34,786 individu telah dikenakan tindakan tersebut, merangkumi 4,207 pengembara di KLIA.

"Daripada jumlah ini, negara paling tinggi rekod NTL melibatkan warganegara Bangladesh, diikuti Pakistan, India, Nepal dan Vietnam," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata pihaknya sedang membangunkan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dijangka beroperasi pada awal 2024.

NIISe akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang sudah beroperasi lebih 20 tahun dan akan memberikan nilai tambah kepada sistem sedia ada.

Sistem baharu itu antara lain dilengkapi penjanaan identiti unik bagi setiap pelawat semasa ketibaan di pintu masuk negara melalui pengambilan biometrik cap jari dan wajah yang akan menyumbang kepada keberkesanan penguatkuasaan secara digital pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 6:56 PM