Pengunjung melihat senjata 105mm LG1 MKIII ketika pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). FOTO ASYRAF HAMZAH
Pengunjung melihat senjata 105mm LG1 MKIII ketika pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). FOTO ASYRAF HAMZAH
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bermula dengan pengalaman sebagai pengatur cara komputer, ia kemudian beralih kepada pembinaan sistem simulasi peperangan dan latihan ketenteraan yang dibangunkan sepenuhnya oleh anak tempatan.

Pengarah Urusan Ikramatic Systems Sdn Bhd Syed Mohamad Jamil Syed Ahmad berkata, sistem itu bermula dengan penghasilan sistem simulator penerbangan pada 1998 sebelum syarikat itu mula mereka bentuk perisian simulasi peperangan sejak lima tahun lalu.

"Pada mulanya, saya pengatur cara komputer, namun selepas habis belajar saya suka menghasilkan 'game' (permainan) termasuk 'flight simulator' (simulator penerbangan).

"Ada rakan memaklumkan sistem itu boleh dikomersialkan dan dia memberikan input mengenai sebuah pesawat berfungsi sebelum simulasi itu dibentangkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Syed Mohamad Jamil berkata, sistem Integrated Shooting Marksmanship Trainer (ISMAT) berjaya menewaskan produk luar negara dalam bidaan tender terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kami turut menghasilkan perisian simulasi realiti maya (Simbat) iaitu sebuah sistem latihan taktikal dalam alam maya yang imersif dan realistik dengan mengaplikasikan teknologi realiti maya (VR).

"Perisian sistem Simbat yang direka sepenuhnya oleh anak tempatan itu adalah setaraf dan mungkin lebih baik serta canggih dari sesetengah produk keluaran syarikat antarabangsa.

Beliau berkata, produk keluaran pihaknya jauh lebih efisien jika dibandingkan dengan sistem simulasi peperangan yang sedang diguna pakai ATM di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

"Jika dibandingkan dengan sebuah produk dari Amerika Syarikat, sistem VR mereka masih memerlukan pengguna memakai komputer di belakang badan, sedangkan produk kami semuanya digunakan tanpa wayar.

"Kami mensasarkan untuk menempatkan sistem simulasi rekaan di semua pangkalan tentera dalam negara kerana mampu memberikan penjimatan kepada ATM selain mengoptimumkan latihan anggota tentera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 4:54 PM