ZULKIPLE (tengah) melihat senjata yang digunakan dalam latihan peperangan Tentera Darat selepas merasmikan sistem VIRTSIM.
ZULKIPLE (tengah) melihat senjata yang digunakan dalam latihan peperangan Tentera Darat selepas merasmikan sistem VIRTSIM.
HM Digital

Gemas: Latihan peperangan menggunakan Simulasi Arena Realiti Maya 3D (VIRTSIM) yang julung kali dilancarkan di negara ini dapat menjimatkan kos jangka panjang untuk latihan tentera darat, sekali gus menjadi pendekatan terkini dalam latihan ketenteraan.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, penggunaan VIRTSIM membolehkan anggota tentera darat melaksanakan latihan pertempuran seolah-olah berada dalam situasi pertempuran sebenar.

Menurutnya, penggunaan teknologi ini mengurangkan kos latihan kerana sistem ini boleh ditetapkan dan diguna semula mengikut situasi diperlukan hingga anggota mahir dalam taktikal ketenteraan.

“Sekiranya latihan sebenar, ia membabitkan kos tinggi kerana setiap demonstrasi memerlukan ribuan ringgit, selain kawasan latihan yang semakin berkurang.

“Bagaimanapun, menggunakan sistem ini, hanya ada satu kos permulaan dan boleh dipakai berulang kali.

“Penggunaan sistem ini juga tidak menggantikan latihan sebenar kerana latihan sebenar masih perlu, mungkin dalam 10 latihan wajib, lapan daripadanya menggunakan VIRTSIM,” katanya selepas merasmikan VIRTSIM di Pusat Simulasi Virtual Kem Syed Sirajuddin, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pusat Olah Perang Tentera Darat Kolonel Abdul Razak Hussain.

Zulkiple berkata, teknologi VIRTSIM ini digunakan anggota yang terbabit dalam misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan misi luar negara bagi membolehkan mereka berlatih dalam apa juga keadaan iklim serta muka bumi.

Katanya, sistem yang baru dua bulan beroperasi ini efektif dan tidak banyak berbeza dengan realiti.

“Sistem ini menggunakan tembakan secara elektronik, cara menembak untuk mengenai sasaran sama dengan penggunaan senjata sebenar,” katanya.

Latihan pertempuran menggunakan VIRTSIM hanya dilaksanakan di ruang latihan arena realiti maya bersaiz gelanggang bola keranjang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 6:06 AM