PENGUNJUNG CES mencuba permainan Beat Saber menggunakan Playstation VR. -Foto AFP
PENGUNJUNG CES mencuba permainan Beat Saber menggunakan Playstation VR. -Foto AFP
Agensi

PAMERAN Elektronik Pengguna (CES) 2019 yang dibuka baru-baru ini di Las Vegas, Amerika Syarikat disertai 4,500 syarikat mempamerkan pelbagai produk terbaru dan canggih serta dijangka menarik lebih 180,000 pengunjung.

Pada tahun ini, syarikat gergasi dunia termasuk Samsung, LG, Sony dan Panasonic sekali lagi menjadi tumpuan dengan produk terkini mereka.

Realiti maya kekal menjadi fokus utama pameran kali ini dengan syarikat elektronik berlumba-lumba memperkenalkan teknologi terbaru dan paling terkini.

Gergasi komputer, IBM mengetengahkan projek kerjasama dengan syarikat Aurrigo Tech iaitu pod autonomi kawalan suara.

Syarikat elektronik LG tidak pernah menghampakan apabila mempamerkan teknologi televisyen terbaru dikenali sebagai diod pemancar cahaya organik (OLED) dengan memenuhi ruang pameran dengan 265 skrin.

“Ia satu fenomena. Ia sangat mengagumkan apabila teknologi OLED lut sinar kini boleh didapati di pasaran.

“Anggaplah ia seperti satu tingkap yang boleh dibuka dan menayangkan filem. Teknologi terhebat dalam industri ketika ini adalah OLED,” kata seorang wakil LG dalam pameran berkenaan.

Beberapa syarikat yang kali pertama menyertai pameran teknologi antarabangsa itu turut tidak ketinggalan mempamerkan rekaan terkini mereka.

 MOTOSIKAL elektrik Harley-Davidson LiveWire yang dipamerkan di CES 2019. -Foto AFP
MOTOSIKAL elektrik Harley-Davidson LiveWire yang dipamerkan di CES 2019. -Foto AFP

Royole yang memperkenalkan telefon pintar terbaru yang

dikenali sebagai FlexPai kepada media sebelum ini, kini secara rasmi menunjukkan kemampuan gajet itu.

Syarikat itu turut mempamerkan sebuah beg tangan yang mempunyai skrin boleh lentur di atasnya.

Pengeluar barangan pengguna, P&G yang terkenal dengan lampin pakai buang, Pampers dan barangan penjagaan diri mempamerkan pisau cukur canggih yang mempunyai pemanas serta berus gigi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Syarikat itu turut mempamerkan satu alatan yang boleh mengimbas

kulit dan mengeluarkan serum untuk menutup

tanda penuaan serta kusam.

Satu alatan yang mempunyai sambungan Internet dengan jenama Head & Shoulders menggunakan cahaya ultraungu bagi mengimbas kulit kepala untuk mengetahui masalah botak dan mencadangkan produk yang sesuai.

SEKUMPULAN pengunjung memakai gogel VR ketika menaiki permainan dikenali sebagai DOF Robotics Hurricane 360 yang dipamerkan DOF Robotics.
SEKUMPULAN pengunjung memakai gogel VR ketika menaiki permainan dikenali sebagai DOF Robotics Hurricane 360 yang dipamerkan DOF Robotics.

Pengeluar pakaian, The North Face menggunakan teknologi realiti maya untuk memberi gambaran secara jelas mengenai fabrik kalis air keluaran terbaru syarikat itu.

Raytheon menunjukkan penggunaan harian sistem kedudukan sejagat (GPS) dengan sistem antisekatan yang asalnya direka untuk melindungi angkatan tentera.

Syarikat pengeluar jentera berat, John Deere buat pertama kali mempamerkan traktor canggih dilengkapi mesin penuai dengan bantuan AI.

Mesin penuai itu mempunyai beberapa kamera dengan teknologi visi komputer untuk memantau kualiti bijirin yang masuk supaya itu sistem pengasingan boleh diubah secara automatik.

Menurut syarikat itu, petani boleh memantau proses menuai tanaman dengan menggunakan telefon pintar.

Pengarah pengeluaran dan pemasaran pertanian, Deanna Kovar percaya teknologi itu bakal mengubah industri pertanian pada masa depan.

“Petani menggunakan traktor sejak puluhan tahun dan CES ini adalah peluang untuk memperkenalkan teknologi baru itu,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 4:31 AM