ANGGOTA bomba bergegas ke tempat kejadian.
ANGGOTA bomba bergegas ke tempat kejadian.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Haji Muhammad 2, Bukit Belimbing, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.19 pagi.

"Siasatan mendapati, mangsa berusia 47 tahun yang memandu kereta Toyota Corolla dari Jalan Haji Muhammad 2 menghala ke Jalan Bukit Belimbing gagal mengawal keretanya sebelum terbabas melanggar pokok di bahu jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 4:44 PM