MANGSA kemalangan akibat mengelak pokok tumbang di Jalan Belimbing. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA kemalangan akibat mengelak pokok tumbang di Jalan Belimbing. FOTO Ihsan Bomba
Roselan Ab Malek


SEORANG suri rumah maut apabila motosikal yang dinaiki bersama suaminya terbabit kemalangan apabila cuba mengelak pokok tumbang di Jalan Belimbing, Maran, hari ini.

Mangsa, Nor Farisnazira Mohd Zulnorisham, 21, yang membonceng motosikal Yamaha Avantiz ditunggangi suaminya Mohamad Helmi Ashraf Mohd Lela, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan pada 1.30 pagi itu turut membabitkan sebuah lagi motosikal Honda Ex-5.

Katanya, siasatan mendapati, penunggang Honda Ex-5, Muhammad Abdul Fatah Kaha, 18, bersama rakannya, Muhammad Nazrul Hakim Aminuddin, 17, dalam perjalanan balik ke rumahnya di Felcra Sri Makmur

"Apabila tiba di tempat kejadian, mereka melanggar pokok tumbang di tengah jalan, kemudian datang penunggang motosikal Yamaha Avantiz (dinaiki mangsa) dari arah sama, cuba mengelak ke kiri jalan lalu melanggar penghadang jalan.

"Pembonceng motosikal yang maut dibawa ke Bilik Forensik Hospital Jengka untuk tindakan lanjut, manakala mangsa lain dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:51 PM