GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

WANITA maut manakala suaminya dan dua lagi remaja lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal ditunggang mereka melanggar pokok tumbang di Jalan Belimbing, Maran, awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa yang maut ialah Nor Farisnazira Mohd Zulnorisham, 21, yang membonceng motosikal Yamaha Avantiz ditunggang suaminya, Mohamad Helmi Ashraf Mohd Lela, 23, yang cedera di kaki kanan.

Dua lagi mangsa ialah Muhammad Abdul Fatah Kaha, 18, yang menunggang motosikal Honda Ex-5 bersama rakannya Muhammad Nazrul Hakim Aminuddin, 17, dengan kedua-duanya cedera di muka dan badan.

"Ketika kejadian, kedua-dua motosikal itu dipercayai dari arah Maran menghala ke Kuantan.

"Motosikal ditunggang wanita itu dan suaminya melanggar penghadang besi jalan akibat perlanggaran berkenaan," katanya.

Kamarulzaman berkata bedah siasat ke atas mangsa mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan kecederaan parah di kepala, manakala tiga mangsa yang lain dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 2:57 PM