SEORANG wanita melakukan calitan hidung (nasal swab). FOTO Danial Saad
SEORANG wanita melakukan calitan hidung (nasal swab). FOTO Danial Saad
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Lebih separuh kes harian Covid-19 yang dilaporkan di negara ini dicatatkan di Selangor iaitu sebanyak 11,692 kes.

Ini adalah hari kedua berturut-turut negeri berkenaan mencatatkan pertambahan kes Covid-19 melebihi 10,000 kes.

Kelmarin, Selangor mencatatkan sebanyak 10,240 kes.

Mengulas mengenai fasiliti kesihatan di negara ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan enam negeri mencatatkan penggunaan katil di ICU melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya kini sudah mencecah 100 peratus.

Lima negeri lain ialah Kuala Lumpur dengan 67 peratus, Selangor (59 peratus), Perlis (55 peratus), Johor (53 peratus) dan Kelantan (52 peratus) serta tiada negeri yang menunjukkan peratusan melebihi 50 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Selain itu, lapan negeri menunjukkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu di Selangor (79 peratus), Putrajaya (72 peratus), Kuala Lumpur (64 peratus), Terengganu (60 peratus), Melaka (59 peratus), Perak (57 peratus), Sarawak (55 peratus) dan Negeri Sembilan (54 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 6:02 PM