Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di Kelantan kini menghampiri 83 peratus dan yang tertinggi direkodkan setakat ini.

Kelantan antara lima negeri mencatatkan penggunaan katil di wad ICU bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan katil ICU kedua tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (65 peratus), Melaka (58 peratus) dan Perlis (55 peratus).

"Bagi katil bukan ICU, terdapat tiga negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 90 peratus iaitu di Kelantan (101 peratus), Selangor (97 peratus) dan Perak (90 peratus).

"Bagi katil bukan ICU yang melebihi 50 peratus penggunaan pula adalah di Kuala Lumpur iaitu 87 peratus, Perlis (81 peratus), Putrajaya (77 peratus), Johor (75 peratus), Pahang (71 peratus), Sabah (71 peratus), Pulau Pinang (52 peratus), Terengganu (52 peratus) dan Sarawak (52 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiga negeri iaitu Perak (74 peratus), Melaka (60 peratus) dan Selangor (54 peratus) menunjukkan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 191 pesakit.

"Peratusan penggunaan bantuan itu adalah 36 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes jangkitan itu kategori 1 hingga 5 yang baru didiagnosa pada setiap hari.

Katanya, ia memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

"Misalnya, ketika didiagnosa mungkin pesakit itu berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih yang memerlukan kemasukan ke hospital.

"Pada masa sama, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

"Semalam, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,804 kes dan daripada jumlah itu, 621 kes atau 34.4 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 1,183 kes (65.6 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 10:46 AM