GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Lapan negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan negeri itu ialah Kelantan (70 peratus), Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (63 peratus), Melaka (61 peratus), Perak (58 peratus), Perlis (55 peratus) dan Sabah (53 peratus).

Beliau berkata, peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil bukan ICU pula adalah membabitkan 12 negeri iaitu Selangor (106 peratus), Kuala Lumpur (91 peratus), Perak (91 peratus), Kelantan (87 peratus), Putrajaya (84 peratus), Perlis (78 peratus), Pahang (69 peratus), Johor (68 peratus), Terengganu (60 peratus), Sabah (60 peratus), Pulau Pinang (57 peratus) dan Sarawak (55 peratus).

"Sementara itu, bagi penggunaan fasiliti kesihatan membabitkan katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), hanya satu negeri iaitu Melaka (57 peratus) menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

"Data lain juga menunjukkan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan atau ventilator meningkat kepada 193 pesakit.

"Ia membabitkan peratusan penggunaan ventilator 35 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 pada 28 Februari 2022.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya, setiap negeri sudah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke PKRC, hospital, dan ICU.

"Apapun, KKM ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes Covid-19 kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari.

"Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19," katanya.

Beliau berkata, misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Home Surveilance Order (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital.

Pada masa yang sama, katanya, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 11:28 AM