DATUK Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak. FOTO Roselan Ab Malek
DATUK Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Lipis: Kemunculan pelbagai spesies ikan asing terutamanya sungai di Pahang sudah lama menjadi ancaman terhadap ekosistem sekali gus turut menjejaskan pendapatan nelayan sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, selain sikap kurang peka dalam kalangan masyarakat, kekangan daripada aspek perundangan juga menghalang penguatkuasaan dilakukan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

"Jabatan Perikanan tidak mempunyai kuasa untuk menahan atau mendakwa individu yang melepaskan spesies ikan asing ke dalam sungai, jadi perkara seperti ini perlu dilihat atau dikaji semula.

"Bagi kerajaan negeri, cadangan untuk meminda dan menambahbaik peruntukan undang-undang sedia ada sedang dilakukan membabitkan perbincangan antara Jabatan Perikanan negeri dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Pahang.

"Kalau boleh ditambah baik dengan masukkan sub seksyen tertentu dalam peruntukan tersedia, maknanya mereka boleh mengambil tindakan seperti mengenakan kompaun dan mendakwa pesalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Peringkat Pahang di Sungai Lipis dekat Kampung Melayu Benta, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar.

Pada majlis itu, sebanyak 25,000 benih ikan lampam sungai dan 300 ekor ikan kelah dilepaskan menjadikan jumlah ikan yang dilepaskan di seluruh Pahang sebanyak 13.5 juta ekor sejak 2010.

Ketika ini, Jabatan Perikanan Pahang hanya mempunyai peruntukan mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) Pahang 1991 bagi mengenakan kompaun dan mendakwa pesalah terbabit.

Spesies ikan asing berbahaya yang biasa dijumpai di perairan umum di negara ini ialah patin siam (Pangasianodon hypophthalmus), ikan bandaraya (Hypostomus plecostomus), peacock bass (Cichla spp) dan udang kara air tawar (Cherax spp)

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan muncul spesies monster yang boleh menjangkau ke saiz gergasi iaitu ikan baung ekor merah Asia (Phractocephalus hemioliopterus) dan patin high fin (Neoarius berneyi) yang bersifat pemangsa dan memakan ikan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 5:33 PM