SECK Yan ketika dibawa ke mahkamah pada 28 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
SECK Yan ketika dibawa ke mahkamah pada 28 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
Ahmad Hasbi


Seremban: Sebutan semula kes suri rumah yang didakwa membunuh suaminya di sebuah rumah di Rasah Kemayan, Seremban 2, di sini, Januari lalu, ditetapkan pada 22 April depan.

Majistret Norzaliza Tesmin membuat keputusan itu hari ini selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih belum mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia serta laporan psikiatri tertuduh, Lau Seck Yan, 55.

Pada prosiding itu, tertuduh juga tidak hadir ke mahkamah kerana masih menjalani pemerhatian psikiatri.

Mahkamah Majistret pada 25 Februari lalu mengarahkan Seck Yan yang juga bekas calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 2018, menjalani pemerhatian psikiatrik di Hospital Permai, Johor Bahru, selama sebulan.

Pihak pendakwaan sepatutnya membentangkan laporan kimia dan psikiatri hari ini.

Norzaliza sebelum ini mengeluarkan perintah pemerhatian psikiatrik ke atas Seck Yan selepas permohonan dibuat peguam tertuduh, Joshua Nga Koo Koy.

Joshua meminta mahkamah menghantar anak guamnya menjalani penilaian mental selama sebulan atas faktor tertuduh mempunyai sejarah bertindak agresif dan ganas terhadap suaminya.

Tertuduh pada 28 Januari lalu didakwa membunuh suaminya, Poh Seng Hiap, 55, di rumah mereka di Rasah Kemayan antara 3.30 hingga 4.30 petang pada 23 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 2:37 PM