Peguam Akif Rusli yang mewakili tertuduh Khalid Redza Shuib, 41, ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini. Foto Ahmad Hasbi.
Peguam Akif Rusli yang mewakili tertuduh Khalid Redza Shuib, 41, ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini. Foto Ahmad Hasbi.
Ahmad Hasbi


Seremban: Peguam bela seorang lelaki yang dituduh membunuh seorang kanak-kanak perempuan dan wanita ditemui di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, di sini, April lalu memohon kepada Mahkamah Majistret, hari ini, supaya anak guamnya dirujuk kepada pakar psikitari.

Peguamnya, Akif Rusli berkata, Khalid Redza Shuib, 41, mempunyai masalah 'gangguan' manakala anak perempuannya yang berusia 18 tahun turut dituduh membunuh seorang kanak-kanak, Hanan Hasrul Izwan, 5, adalah orang kelainan upaya (OKU) turut dikesan mempunyai masalah mental.

"Saya memohon kedua-dua tertuduh disemak kesihatan mereka dengan pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya juga dimaklumkan anak perempuannya mengalami semput dan mempunyai kad OKU, oleh itu saya memohon semakan mental bagi kedua-dua tertuduh oleh pihak psikiatri," katanya pada prosiding mahkamah, hari ini.

Beliau membuat permohonan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi memaklumkan bahawa laporan makmal, kimia dan forensik masih belum diperoleh.

Bagaimanapun, Majistret Mohd Firdaus Salleh memberitahu beliau mengambil maklum permohonan dibuat pihak pembelaan, namun tidak menerima permohonan untuk merujuk kedua-kedua tertuduh kepada pihak psikiatri atas alasan tiada dokumen sokongan dikemukakan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan Majistret Norzaliza Tesmin berkata, berdasarkan penilaian didapati Khalid Redza tidak mempunyai masalah mental serta memahami pertuduhan ke atasnya.

"Sekiranya perlu, pada tarikh akan datang boleh membuat permohonan (untuk merujuk tertuduh kepada pihak psikiatri) dengan disertakan dokumen sokongan," katanya.

Permohonan sama untuk turut dikemukakan pihak pembelaan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed di Mahkamah Sesyen.

Mahkamah menetapkan kesemua kes berkenaan disebut semula pada 23 September depan.

Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada di kawasan semak dekat Jalan Zamrud, Temiang, 7 April lalu.

Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29, yang mayatnya ditemui di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, oleh seorang lelaki.

Di Mahkamah Sesyen, Khalid Redza berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:50 PM