Ahmad Hasbi


Seremban: Pekerja kilang penapis minyak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan membunuh lelaki warga India awal bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Hassan, 25, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa hadapan Majistret Norzaliza Tesmin kerana kes bunuh mengikut bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hassan yang juga warga Pakistan didapati membunuh Vishavdeep Singh, 22, pada 3 Januari lalu antara 12.37 tengah malam hingga 1.50 pagi di sebuah rumah di Taman Happy, Jalan Pantai, Port Dickson.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, jurubahasa terpaksa membacakan pertuduhan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia sebelum tertuduh hanya mengangguk faham.

Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Norzaliza menetapkan sebutan semula kes pada 10 Februari depan dan tiada jaminan ditawarkan.

Harian Metro pada 3 Januari lalu melaporkan lelaki warga India maut dipercayai ditikam selepas bertengkar dengan rakan di sebuah rumah di Taman Happy.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa dipercayai minum minuman keras di dalam bilik suspek di tingkat atas kediaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 1:46 PM