Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) menambahbaik infrastruktur dan perkhidmatan rawatan supaya lebih mesra orang kurang upaya (OKU) untuk memberi rawatan terbaik kepada golongan memerlukan di negeri ini.

Pengerusinya Datin Suliana Shamsuddin Alias berkata, antara rawatan ditawarkan termasuk terapi berkuda atau hippoterapi, kolam terapi hidro dan bilik terapi sensori secara percuma.

Katanya, rawatan terapi berkenaan pernah dilakukan sebelum pandemik Covid-19, namun terhenti seketika disebabkan keadaan dan kini kembali beroperasi.

"Bagi memberi rawatan disediakan ini, kami melantik beberapa juruterapi berpengalaman untuk membantu golongan OKU yang berdaftar dengan Yokuk menjalani sesi rawatan sehinggalah mereka kembali pulih.

"Bagaimanapun, untuk terapi berkuda ia adalah salah satu bentuk terapi membabitkan penggunaan kuda dalam rawatan pemulihan dan dilaksanakan oleh petugas terlatih.

"Kebiasaannya perkembangan kesihatan pesakit yang menjalani terapi ini dapat dilihat bergantung kepada keadaan dan kekerapan mereka menjalani rawatan dan ada yang mencapai sehingga tempoh dua tahun seperti terapi berkuda," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Amal Yokuk Karnival 2022 di Pejabat Yokuk Pengkalan Chepa, di sini, hari ini yang turut dihadiri penyanyi Kaka Azraff.

Suliana berkata, sejak 1999 sehingga kini, lebih 6,000 OKU di seluruh negeri ini berdaftar dengan Yokuk.

"Bagi meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan rawatan, kami memerlukan sumbangan dana daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga individu persendirian.

"Kami tidak hanya tertumpu untuk membantu golongan OKU sahaja, tetapi turut memberi perkhidmatan kepada ahli keluarga yang memerlukan bantuan kewangan dan nasihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 4:23 PM
Suliana (kanan) dan Kaka Azraff (kiri) meraikan kanak-kanak golongan orang kurang upaya (OKU) Program Amal Yokuk Karnival 2022 di Pejabat Yokuk Pengkalan Chepa. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Suliana (kanan) dan Kaka Azraff (kiri) meraikan kanak-kanak golongan orang kurang upaya (OKU) Program Amal Yokuk Karnival 2022 di Pejabat Yokuk Pengkalan Chepa. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI