ASMAH dan Zainol melihat album gambar Harif Fadelah yang hilang sejak keluar ke laut pada 7 Mac lalu, di Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ASMAH dan Zainol melihat album gambar Harif Fadelah yang hilang sejak keluar ke laut pada 7 Mac lalu, di Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“NALURI saya kuat mengatakan suami masih hidup walaupun gagal menghubunginya sejak minggu lalu," kata isteri tekong bot yang hilang di perairan Kuala Kedah, Asmah Husin, 45.

Asmah berkata, suaminya, Harif Fadelah Zainol, 58, keluar dari rumah mereka di Kuala Kedah sejak 7 Mac lalu bersama dua lagi nelayan, Abdul Ghani Jusoh, 56, dan seorang lagi yang belum dikenal pasti.

Bagaimanapun, katanya, kali terakhir mereka berjaya dihubungi pemilik bot pada 10 Mac lalu iaitu pada hari ketiga keluar menangkap ikan di perairan Kuala Kedah sebelum dilaporkan hilang.

"Saya cuba menghubungi telefon bimbit suami, namun tiada liputan talian dan tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah pemilik bot datang ke rumah sewa kami di Kuala Kedah dan meminta dokumen pengenalan suami kerana dia dan dua nelayan terbabit tidak pulang.

"Kali terakhir saya bercakap dengannya pada 7 Mac lalu ketika dia mengisi minyak bot sebelum dia mengucapkan selamat jalan, malah suaranya sayup hilang selepas itu," katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Jalan Teluk Kechai, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Asmah berkata, sebelum ini, suaminya turun ke laut antara empat hingga lima hari sebelum pulang ke rumah, tetapi kali ini tempohnya agak lama menyebabkan seluruh keluarga termasuk bapa mentuanya, Zainol Md Zain, 81, risaukan keselamatannya.

Katanya, suaminya pernah dua kali mengalami masalah bot dinaikinya karam ketika menangkap ikan, namun berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tong fiber.

"Saya harap dengan pengalaman dialaminya sebelum ini mungkin dia berjaya menyelamatkan diri bersama rakannya dan kemungkinan tempat mereka berada sekarang tiada rangkaian liputan menyebabkan sukar dihubungi.

"Saya harap mereka selamat dan sentiasa menunggu berita daripada pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya.

Asmah yang mempunyai masalah kesihatan mengakui dia sukar melelapkan mata dan berasa tidak sedap hati setiap kali melihat gambar suaminya, namun dia cuba kuatkan diri dengan sokongan keluarganya.

Sementara itu, Zainol berkata, kali terakhir dia berbual dengan anak sulung daripada lapan beradik itu melalui telefon ketika mangsa hendak keluar ke laut.

"Saya sempat menasihatinya supaya berhati-hati dan tarik pukat di luar kawasan jangan sampai ditangkap pihak berkuasa kerana bimbang lesennya digantung.

"Dia memang minat menjadi nelayan dan mengikuti jejak langkah saya sejak kecil malah dia yang menyara kehidupan saya sejak ibunya meninggal dunia dan saya pula sudah berhenti kerja sebagai nelayan kerana faktor usia," katanya.

Dalam pada itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 1 (DM 1) menerima panggilan kejadian bot nelayan tempatan tidak pulang setelah keluar menangkap ikan oleh pemilik bot pada jam 8.20 pagi Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasi DM 1 Langkawi, Komander Nurulazme Zakariah berkata, pengadu turut memberitahu kali terakhir botnya dapat dihubungi adalah pada 10 Mac lalu di kedudukan lebih kurang 9.6 batu nautika dari Pulau Payar.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan pada 9 00 Khamis lalu dan seawal pencarian, bot peronda Kilat 29 ditugaskan untuk bergegas ke tempat kejadian namun bot yang dilaporkan tidak kelihatan di lokasi itu.

“Kapal peronda maritim, Kapal Maritim (KM) Siangin menjumpai petunjuk pada hari ketiga pencarian apabila tompokan minyak dijumpai di permukaan laut," katanya.

Nurulazme berkata, kawasan operasi diluaskan sehingga dua batu nautika dari Pulau Payar dan APMM turut meminta bantuan daripada Tentera Laut Dirajay Malaysia (TLDM) untuk membantu proses pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 5:21 PM