ABDUL Kadir (tengah) menunjukkan jerat haiwan liar yang dirampas pada sidang media  sempena Operasi Bersepadu Khazanah (OBK). FOTO Omar Ahmad
ABDUL Kadir (tengah) menunjukkan jerat haiwan liar yang dirampas pada sidang media sempena Operasi Bersepadu Khazanah (OBK). FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Menembak mati haiwan liar menggunakan peluru hidup adalah jalan terakhir diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sekiranya berlaku konflik dengan manusia.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sedaya upaya akan menggunakan perangkap, namun jika tidak berkesan dan memberi ancaman kepada manusia, langkah itu akan diambil.

"Tembak mati ini langkah terakhir, ia dibuat selepas semua aspek diambil kira.

"Kita akan lebihkan dengan kaedah perangkap, malah kami buat kerjasama dengan penduduk setempat dan dapatkan khidmat nasihat terhadap apa yang kita buat," katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini.

Beliau memberi reaksi itu berhubung tindakan Perhilitan Kelantan menembak mati harimau belang yang menyerang dan membaham seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai di Gua Musang, 7 Januari lalu.

Abdul Kadir berkata, pihaknya ada dibekalkan peluru pelali, namun ia lebih sesuai digunakan bagi haiwan di kawasan zoo berbanding di hutan.

Ini kerana, katanya, kebiasaannya jika haiwan itu ditembak menggunakan peluru pelali, terdapat 90 peratus kebarangkalian ia akan mati.

"Kenapa saya kata begitu, sebab bila kita tembak haiwan liar tidak terus pengsan, mungkin 10 minit lepas itu ubat pelali berkesan barulah haiwan itu tumbang.

"Kalau tumbang (akibat ditembak) dalam sungai, haiwan itu akan lemas. Jika dalam zoo kita tembak (menggunakan peluru pelali), masih boleh dipantau tetapi di dalam hutan kita tak tahu haiwan itu lari ke mana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 5:32 PM