Siti Rohana Idris

Rantau Panjang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menafikan tangkapan tokan dadah yang dibuat sebelum ini ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti dalang sindiket menerusi beberapa siri Op Tapis yang bakal dijalankan.

"Yang terbaharu, ada 2,100 tokan pertengahan yang sudah ditangkap dan siasatan lanjut akan dibuat bagi mengenal pasti (pengedar) yang 'atas-atas'.

"Ada sesetengah tu membabitkan pengedaran dadah peringkat antarabangsa macam Kelantan ni banyak masuk daripada negara jiran, Golden Triangle.

"Kita sudah buat Op Tapis 3 dan mungkin ada lagi operasi susulan yang akan dibuat kerana benda ini tak pernah habis, statistik sentiasa akan berubah dan sasaran pun berubah, beri ruang untuk kami siasat," katanya kepada media di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang selepas meninjau operasi pintu masuk di Malaysia dan Thailand.

Terdahulu, dalam lawatan kerjanya ke negeri ini, beliau mengadakan tinjauan di laluan tikus di sepanjang Sungai Golok bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Kubang Pak Hitam, Pasir Mas.

Hadir sama adalah Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Nasir Deraman.

Ayob Khan berkata, terdapat 175 pangkalan haram di Kelantan yang sering digunakan penyeludup dan 135 daripadanya adalah yang aktif.

Menurutnya, berdasarkan statistik sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,219 kilogram (kg) syabu; ganja (1,063kg); pil kuda (1.6 biji); heroin (100kg) dan ketamin (44kg) yang cuba diseludup di laluan kecil dan pangkalan haram berjaya dirampas.

"Tinjauan tadi mendapati betapa sukarnya kita mengawal penyeludupan, bukan saja konteks dadah tetapi membabitkan lain-lain barangan kontraban.

"Sebab itu, lawatan hari ini kita bincang dengan JKDM untuk meningkatkan lagi kolaborasi antara PDRM terutama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dengan jabatan itu.

"Mungkin kita dapat bantu JKDM dari segi bantuan kelengkapan dan sebagainya, jabatan itu juga boleh salurkan maklumat berkaitan pengedaran dadah untuk kita ambil tindakan susulan," katanya.

Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media ketika meninjau operasi pintu masuk di Malaysia dan Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang berikutan kenderaan persendirian belum lagi dibenarkan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media ketika meninjau operasi pintu masuk di Malaysia dan Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang berikutan kenderaan persendirian belum lagi dibenarkan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 3:25 PM