Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan dadah dikesan menggunakan laluan laut untuk membawa masuk 287 kilogram (kg) syabu sebelum transit ke negara jiran.

Dadah itu dibawa ke Johor terlebih dulu sebelum diseludup keluar dengan menggunakan kapal laut ke negara jiran terutamanya Indonesia.

Bagaimanapun taktik sindiket berkenaan berjaya dipatahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN Selangor dan JSJN Johor selepas menahan empat individu dalam serbuan di Selangor dan Johor pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Serbuan berjaya merampas syabu seberat 287 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM10.3 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keempat-empat suspek lelaki berusia 25 hingga 29 tahun itu ditahan menerusi empat serbuan berasingan bermula jam 1.40 tengah hari hingga 12.30 pagi Jumaat dengan dua ditahan di Puchong, Selangor, manakala dua lagi di Johor Bahru, Johor.

"Sindiket ini dipercayai menyeludup masuk dadah dari negara jiran melalui jalan laut di utara tanah air sebelum ditransit di Lembah Klang.

"Dadah berkenaan kemudian akan dibawa ke Johor dan ia kemudian akan diseludup keluar dengan menggunakan kapal laut ke Indonesia.

"Sindiket dikesan aktif sejak Januari lalu dan bekalan dadah turut diedarkan untuk pasaran tempatan di Selangor dan Johor," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Katanya, polis turut menyita pelbagai aset sindiket antaranya tiga kenderaan bernilai RM168,000 dan wang tunai RM5,000 dengan nilai keseluruhan dan sitaan harta berjumlah RM10.5 juta.

Katanya, siasatan mendapati dalang utama sindiket itu adalah jurulatih renang berusia 25 tahun yang ditahan bersama suspek kedua, seorang penganggur berusia 29 tahun di Puchong.

"Semakan mendapati dalang utama tiada rekod jenayah, namun tiga lagi suspek mempunyai rekod lampau dalam kes dadah dan jenayah.

"Keputusan ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek didapati negatif dan mereka direman lima hingga tujuh hari bermula Sabtu lalu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan keseluruhan 287 kg dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh 1.43 juta orang penagih.

AYOB Khan bersama pegawai menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad
AYOB Khan bersama pegawai menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 3:16 PM